KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pemimpin BN termasuk Umno dan turut didalangi oleh parti pembangkang.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau mendapat maklumat itu daripada sumber yang sangat boleh dipercayai.
Beliau berkata rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli Parlimen pembangkang, serta cuba menarik ahli Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui 'jalan belakang'.
"Saya dapat mencium bau ada usaha yang dilakukan oleh tokoh-tokoh tertentu yang didalangi tokoh-tokoh tertentu juga. Satu usaha untuk mendapatkan statutory declaration (akuan bersumpah) dalam kalangan anggota Parlimen parti pembangkang dan juga cuba menarik anggota Parlimen BN (menyokong mereka) untuk menumbangkan kerajaan sedia ada melalui 'pintu belakang'.
"Saya nyatakan perkara ini serius kerana saya mendapat maklumat daripada sumber-sumber yang sangat-sangat boleh dipercayai dan usaha ini sedang berjalan, kononnya seluruh 87 anggota Parlimen pembangkang berserta seorang ahli Parlimen Bebas sedang berusaha mendapat sokongan ahli Parlimen BN untuk menyokong mereka," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ampang di sini, hari ini.
Tanpa mendedahkan nama tokoh terlibat, Ahmad Zahid berkata peguam kumpulan terbabit dikatakan sedang menyediakan "memorandum tujuh muka surat kertas kuning berserta akuan bersumpah" untuk menyatakan kononnya mereka mendapat suara majoriti bagi mengulingkan kerajaan.
Beliau berkata rancangan mereka itu tidak akan dibenarkan berlaku.
"Perkara seserius ini adalah perkara yang akan membawa kepada gelojak politik nasional kerana mereka tidak sanggup mahu menunggu lama (sehingga diadakan) pilihan raya umum (PRU), mereka mahu masuk melalui pintu belakang," katanya.
Untuk itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno mahu semua ahli Umno dan BN termasuk di peringkat akar umbi memandang serius rancangan itu dan perlu kekal bersatu bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku.
"Kekuatan kita berdasarkan kepada ketaatsetiaan yang merupakan tonggak kepada kekuatan kepemimpinan.
"Bukan sahaja kita mendambakan kekuatan dan sokongan akar umbi dan bahagian (Umno) kepada presiden parti, tetapi ahli Parlimen BN, saya amat yakin, mereka tidak akan terjebak dan terperangkap dengan permainan pintu belakang yang akan dilakukan oleh tokoh-tokoh tertentu ini," katanya.
Sumber : BERNAMA
Sumber : BERNAMA

No comments:
Post a Comment