Monday, 17 August 2015

Datuk Bung Mokhtar Radin Terlibat Komplot Gulingkan Kerajaan?



SANDAKAN: Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin kesal dengan tuduhan yang mengaitkan beliau antara pemimpin UMNO yang didakwa terbabit dalam gerakan untuk menggulingkan kerajaan.

Menurutnya beliau tidak tahu wujudnya gerakan itu sehinggalah didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Pada saya tuduhan sebegini kepada saya amat berat dan sungguh dikesali. Saya tidak pernah menjadi pengkhianat atau pembelot kepada parti yang saya perjuangkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata mungkin beliau selalu bersuara lantang tetapi tidak pernah menggadai maruah kerana tidak bersetuju dengan mana mana pemimpin.
Beliau berkata baginya perjuangan UMNO adalah perjuangan yang ikhlas dan bersih.

Menurutnya kalau ada usaha daripada mana-mana pihak mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat, beliau adalah orang pertama yang menentangnya.

"Kerana pada saya kerajaan ini dipilih oleh rakyat. Kalau mahu dijatuhkan pun biarlah melalui pilihan raya umum dan bukan di jalan raya atau mana-mana cara yang tidak bermaruah," katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar mahu pihak tidak bertanggungjawab menghentikan penggunaan namanya dalam perkara yang beliau sendiri tidak tahu.

Sumber : Astro Awani

Khairy : Dedah identiti dalang tindakan guling Kerajaan





BUKIT KATIL: Identiti pemimpin UMNO yang berhasrat bergabung dengan anggota Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan wajar didedahkan, kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Katanya, setiap pemimpin dan ahli parti perlu tahu pergerakan individu terbabit serta langkah yang mahu diambilnya untuk menggulingkan kerajaan.

"Kalau ada satu usaha guling kerajaan, saya rasa elok jika kita diberitahu siapakah individu terlibat dan apakah cara dimaksudkan untuk guling kerajaan," katanya ketika ditemui selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Tahunan UMNO Bahagian Bukit Katil pada Ahad.

Beliau juga bertegas tidak kenal identiti individu yang dimaksudkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.

Sementara itu, Menteri Belia Dan Sukan itu akan mendapatkan maklum balas terhadap usul tergempar Pemuda UMNO Bahagian Tampin yang sebulat suara meminta Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Sumber : Astro Awani

Arul Kanda Menempelak Tony Pua

Arul Kanda dan Tony Pua

KUALA LUMPUR: Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda menempelak Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berikutan masih terus membuat tuduhan kitar semula berhubung isu syarikat itu. 

Sambil merujuk kepada kenyataan dikeluarkan Pua semalam berhubung , Arul berkata 1MDB berbesar hati dengan kenyataan Pua yang kelihatan tidak serius dengan kenyataannya. 

"Dia (Pua) terus menerus memperlekeh kenyataan kami. Bagaimanapun kami tetap akan mengulangi kenyataan dan jawapan yang pernah kami keluarkan sebelum ini. 

"Setiap penelitian dan persoalan dikemukakan Pua, bagaimanapun sangat penting untuk kita mencari kebenaran," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini. 

Dalam kenyataan sama, Arul turut menyertakan tiga kenyataan akhbar Pua yang dikeluarkan sejak seminggu lalu. 

Terbaru, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu mendakwa Arul 'berbohong' ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah memberitahu sidang Parlimen, bahawa baki pelaburan 1MDB yang diuruskan Cayman Monetary Authority sebanyak RM3.96 bilion (USD1.1 bilion) ditebus dengan aset dan diletakkan dalam bank di Singapura. 

Arul berkata, dalam keghairahan Pua membangkitkan semula, mengitar semula dan menggunakan kembali tuduhan lama, Ahli Parlimen itu nampaknya sudah lupa dengan penjelasan lalu mengenai isu penebusan unit dana oleh Kementerian Kewangan kepada Parlimen. 

Katanya, kenyataan dan persoalan kitar semula Pua itu tidak menguntungkan mana-mana pihak dan menyatakan Malaysia bukanlah mengamalkan cara hidup di dalam hutan. 

"Kita mempunyai proses, prosedur dan undang-undang yang akan digunakan. Oleh itu, pihak berkuasa yang sah mesti dibenarkan untuk meneruskan siasatan mereka.

 "1MDB memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelan rasionalisasi kami untuk menstabilkan syarikat dan mengurangkan hutang syarikat ke tahap yang mampan. Biarkan kami meneruskan tugas ini," katanya.

Sumber : BH Online


Lee Chong Wei Tetap Jadi Harapan Negara Untuk Rangkul Emas Di Temasya Sukan Olimpik 2017

Datuk Lee Chong Wei
PUTRAJAYA: Acara badminton tetap menjadi sasaran pingat dengan sandaran utama emas negara pada temasya Sukan Olimpik 2017 di Rio de Janeiro, Brazil diletakkan pada jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei. 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, persediaan awal dan rapi perlu dijalankan segera bagi memastikan Chong Wei berada pada tahap terbaik untuk menghadapi saingan terutama daripada Chen Long dan Lin Dan. 

Pada masa yang sama, beliau berkata, acara lain seperti beregu lelaki, beregu wanita dan juga beregu campuran yang telah menunjukkan peningkatan pada kejohanan itu turut diberi perhatian kerana dilihat sebagai prospek untuk menyumbang pingat pada temasya berprestij itu. 

"Kita tidak mahu letakkan harapan Olimpik pada Chong Wei sahaja, kita harap pingat juga boleh disumbangkan oleh beregu, dengan itu kita tidak hanya bergantung pada Chong Wei. 

"Saya tidak hilang harapan terhadap Chong Wei. Beliau masih yang terbaik bagi meraih pingat emas perseorangan. "Tapi kita kena bagi dia persediaan secukupnya bagi Olimpik. 

Sekurang-kurangnya dia berada pada prestasi terbaik semasa Sukan Olimpik," katanya kepada pemberita selepas sidang media bersama rakan korporat Hari Sukan Negara (HSN) di sini hari ini. 

Pencapaian terbaik pasukan badminton Malaysia di Sukan Olimpik adalah meraih dua pingat perak dan dua gangsa sejak ia mula dipertandingkan secara rasmi pada temasya 1992 di Barcelona. 

Chong Wei menyumbang pingat perak acara perseorangan lelaki pada temasya Olimpik 2008 di Beijing manakala Rashid Sidek pula meraih gangsa pada temasya 1996 di Atlanta. 

Beregu lelaki Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock turut menyumbang pingat perak pada temasya di Atlanta selepas pasangan Razif/Jalani Sidek menyumbang pingat gangsa yang juga pingat Sukan Olimpik pertama negara di Barcelona (1992). 

Sementara itu, Khairy berkata, satu rundingan sedang dijalankan dengan bapa Zulfadli Zulkiffli yang juga jurulatih kepada pemain profesional itu untuk membolehkan beliau menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM). 

Katanya, Zulfadli, 22, bekas juara remaja dunia, dilihat berpotensi menggantikan tempat Chong Wei berikutan kejutan yang dibuat pada Kejohanan Dunia apabila layak ke pusingan ketiga. 

"Saya melihat Zulfadli ada potensi untuk ganti Chong Wei sebab itu kita cuba berbincang supaya beliau masuk dalam sistem BAM. Kami sedang cuba untuk berbincang dengan bapanya dan juga pemain itu untuk melihat jika beliau mahu masuk BAM," katanya.

Pada aksi final Kejohanan Dunia di Jakarta semalam, Chong Wei sekali lagi gagal meraih gelaran juara dunia, satu-satunya kejohanan yang belum berjaya dimenangi sepanjang penyertaan di kejohanan itu. 

Chong Wei tewas kepada jaguh dari China, Chen Long 14-21 dan 17-21 dalam perlawanan yang berlangsung di Istora Senayan.

Sumber : BERNAMA


Mekanik Mengaku Bersalah Sebabkan Kematian Nenek

KOTA KINABALU: Seorang mekanik menukar pengakuannya kepada bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin, kerana menyebabkan kematian neneknya.

Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menetapkan pada 24 Ogos depan, sebagai jatuh hukum terhadap Jackley Jamil, 22, yang mana kelmarin adalah sepatutnya untuk perbicaraan.

Penangguhan itu dilakukan sementara menunggu laporan sosial disediakan, memandangkan ketika kejadian tertuduh merupakan pesalah muda.

Tertuduh menyebabkan kematian Lotia Moginas, 69, pada 31 Januari tahun lalu jam 2.30 pagi, di tepi jalan jambatan gantung, Kampung Bundu Gulu Rungus, Tamparuli.

Atas pertuduhan itu, Jackley didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun atau dengan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan itu dikendalikan oleh Timbalan PendakwaRaya Ahmad Nazneen Zulkifli, manakala peguam Hendry Gudid mewakili tertuduh.

Kini tertuduh direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah, sehingga kes berkenaan selesai.

Dalam kes berasingan, seramai 15 lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara antara empat hingga lima bulan serta satu sebatan, selepas mengaku bersalah memasuki negeri ini secara haram.

Mereka yang berusia antara 18 tahun hingga 53 tahun terdiri daripada mekanik, buruh, nelayan dan penganggur didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 18 tahun dan melebihi 50 tahun tidak dikenakan sebatan.

Sementara itu, seorang lelaki warga asing berusia 40 tahun, dijatuhkan hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah tinggal di negeri ini melebihi tempoh masa yang dibenarkan.

Tertuduh yang merupakan pekerja ladang kelapa sawit, didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tempoh lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah memerintahkan semua tertuduh yang tidak diwakili peguam dirujuk ke Jabatan Imigresen, bagi tindakan selanjutnya, selepas menjalani hukuman.



Sunday, 16 August 2015

Tindakan Tegas Akan Diambil Jika Guling Kerajaan Dengan Cara Yang Salah - IGP

Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara

BATU PAHAT  - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk pemimpin parti politik yang cuba menggulingkan kerajaan dengan cara yang bertentangan dan menyalahi perlembagaan serta undang-undang negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan, pihaknya sedang memantau perkembangan berkaitan termasuk penganjuran Bersih 4.0 yang dilihat semakin tersasar daripada tujuan asal.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa PDRM tidak akan mencampuri urusan politik dalaman parti.

“Jika ada usaha untuk menurunkan mana-mana pemimpin parti, polis tak ingin mencampuri urusan dalaman mereka, tetapi jika ada mana-mana orang atau parti politik yang cuba menggulingkan kerajaan sedia ada dengan cara tidak demokratik, itu kita akan masuk campur.

“Terdapat dua cara untuk menukar kerajaan. Pertama menerusi undi tidak percaya di Parlimen dan kedua, menerusi pilihan raya umum. Jika selain daripada dua cara ini, kita akan menghalangnya,” tegasnya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Pentauliahan Kor Suksis IPTA SeMalaysia Ke-11 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Polis negeri, Datuk Rusli Ahmad dan Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.

Mengulas tentang Bersih 4.0 yang dijadualkan pada akhir bulan ini, Khalid berkata, kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Bersih sejak kebelakangan ini bukan lagi memperjuangkan pilihan raya yang bersih, tetapi menjurus terhadap usaha menukar kerajaan.

Justeru, beliau memberi amaran akan mengambil tindakan pencegahan sekiranya terdapat usaha dan aktiviti ke arah menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan.

“Jangan minta clean (bersih) itu clean (bersih) ini tetapi mereka sendiri kotor (kerana) tidak mahu mematuhi undang-undang.

“Bersih ini juga pentingkan diri, tak mahu jaga kepentingan orang lain, dia nak jaga hak dia ikut suka hati nak berhimpun di (Kompleks) Sogo dan lain-lain. Tetapi tak ambil kira hak pemandu teksi dan peniaga, fikirkanlah juga hak orang lain,” tegasnya.

Tambah Khalid, pihaknya tidak menghalang mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan aman, malah akan membantu kelancaran program itu tetapi mengesyorkan supaya mereka berhimpun di lokasi yang sesuai.

Sumber : Utusan Online

Perdana Menteri Dapat Sokongan Padu Rakyat Sabah dan Sarawak


Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO

BUKIT MERTAJAM  – Rakyat Sabah dan Sarawak terus memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memimpin Kerajaan Persekutuan dan Barisan Nasional (BN) walaupun terdapat gerakan yang didalangi tokoh UMNO dan pembangkang untuk menggulingkan kerajaan sekarang.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pandangan rakyat di Sabah dan Sarawak harus diambil kira disebabkan mereka merupakan antara penyumbang kepada pembentukan kerajaan sekarang.

“Persoalan untuk menggulingkan kerajaan tidak wujud dan teori (gerakan) ini harus dihentikan ke­rana rancangan ini akan melemahkan BN secara keseluruhannya.

“Saya berpendapat bahawa rakyat di Sabah dan Sarawak menyokong penuh kepemimpinan Najib dan mereka tidak bercadang menukar Perdana Menteri,” kata­nya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini hari ini.Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, trend politik masa kini telah berubah dan parti tidak boleh mengharapkan sokongan dari negeri-negeri di Semenanjung sahaja.

“Sejarah pengundian lepas menunjukkan bahawa sokongan negeri di Malaysia Timur seperti Sabah dan Sarawak mampu menentukan pemimpin negara.

“Mereka (rakyat Sabah dan Sarawak) yakin dengan kepe­mimpinan Najib yang merupakan Perdana Menteri yang banyak membela nasib rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Rahman mengingatkan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Pulau Pinang agar mempertahankan agensi pemaju hartanah Kerajaan Pusat seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan JKP Sdn. Bhd. sekiranya ada kelewatan untuk menyiapkan sesuatu projek perumahan.

“Pemaju hartanah Persekutuan juga mengalami nasib yang sama jika kerajaan negeri melewat-lewatkan kelulusan,” katanya.

Sumber : Utusan Online

Timbalan Perdana Menteri Ada Bukti Kukuh Tokoh Besar UMNO Mahu Guling Kerajaan - Hishammuddin

TPM ada bukti - Hishammddin




TEMERLOH, 16 Ogos  -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pasti mempunyai bukti kukuh sebelum mendedahkan tentang tindakan seorang tokoh besar UMNO menjadi dalang utama komplot menggulingkan kerajaan melalui cara tidak demokratik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn berkata ia merupakan satu perkara yang serius dan tidak mungkin perkara itu ditimbulkan tanpa sebarang fakta dan bukti yang dapat meyakinkan rakyat dan anggota UMNO khasnya.

"Sudah tentu ia memerlukan bukti yang kukuh kerana perkara yang serius seperti ini tidak akan dapat diyakinkan kepada rakyat khususnya anggota kita dengan cara penerangan begitu sahaja.

"Saya yakin Timbalan Perdana Menteri mempunyai bukti tertentu dan ia akan dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi termasuk bentuk tindakan yang diambil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Krau di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said serta barisan kepimpinan UMNO bahagian serta sayap parti.

Ahmad Zahid semalam mendedahkan tindakan seorang tokoh besar UMNO menjadi dalang utama mengatur gerakan menggulingkan kerajaan melalui cara undi tidak percaya di Parlimen dengan sokongan anggota Parlimen pembangkang.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini turut dikaitkan dengan komplot untuk menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, namun telahpun dinafikan oleh beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, anggota UMNO di peringkat akar umbi diminta menyerahkan hal itu kepada pucuk pimpinan untuk dibincangkan termasuk mencari bukti yang lebih jelas.

"Kita tidak boleh keluar dari isu ini kalau tidak bersandarkan kepada prinsip tertentu yang universal seperti kebenaran, bukti dan perbincangan yang rasional serta pertimbangan lain," katanya.

Sementara itu, beliau turut meminta pemimpin UMNO bahagian supaya kembali ke landasan asal perjuangan parti termasuk membincangkan soal kebajikan anak bangsa dan hal berkaitan kedaulatan negara tanpa terlalu fokus terhadap isu semasa.

"Dalam keadaan politik hari ini, UMNO tidak pernah abai perkara pokok dalam perjuangan kita, contohnya berdepan dengan ekonomi dunia yang mencabar, apa juga perkara dilemparkan, isu keselamatan tetap diutamakan.

"Saya rasa bangga dengan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau serta perwakilan kerana berbincang tentang soal pokok termasuk keperluan anak muda dalam soal pekerjaan dan perumahan.

"Kemampuan parti dalam menyelesaikan isu sebeginilah yang akan akan dinilai pada pilihan raya nanti dan bukannya dalam soal menyelesaikan isu semasa yang berubah setiap masa dan hari.

Dalam ucapannya perasmiannya sebelum itu, beliau turut meminta anggota UMNO supaya terus utuh dalam satu saf bersama barisan kepimpinan tertinggi parti untuk memastikan kelansungan parti membela nasib anak bangsa.

Sumber : BERNAMA

Pengkhianat Parti Bertemu Presiden Parti Petang ini

Ahmad Zahid Hamidi - Pengkhianat Parti akan bertemu Presiden Parti Hari Ini.

TAMPIN : Pemimpin Umno yang terlibat dalam cubaan menggulingkan kerajaan akan bertemu dengan dengan Perdana Menteri pada petang hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, individu - individu yang terlibat mula ‘terasa’ akan perbuatan mereka itu sudah disedari oleh presiden parti.

Semalam , saya diberitahu individu -individu yang terlibat dalam cubaan itu, mula menyedari perbuatan mereka itu adalah salah, dan akan bertemu dengan presiden parti pada hari ini, yang mana dijangka pada pukul 6 petang ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan bahawa mereka terlibat dalam konspirasi menggulingkan kerajaan ini.

Ahmad Zahid juga berkata, maklumat yang diterimanya akan perihal gerakan sulit ingin menjatuhkan kerajaan itu adalah benar dan diperolehi olehnya melalui individu yang hadir sendiri dalam mesyuarat sulit tersebut

“ Maklumat ini bukan datang dari tepi jalan atau cerita kedai kopi, maklumat ini saya perolehi dari individu yang terlibat dalam mesyuarat sulit tersebut” - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid juga menyelar penasihat parti DAP, Lim Kit Siang yang pernah berkata bahawa bukan satu tindakan jenayah atau tindakan yang tidak demokratik bila perdana menteri dan kerajaan dijatuhkan dengan cara yang aman.

Beliau juga berkata, dia tidak akan sekali -kali membiarkan kerajaan sedia ada ditukar melalui pintu belakang.

“ Kerajaan sedia ada dipilih oleh rakyat. kita tidak boleh menggunakan jalan belakang atau taktik kotor menukar kerajaan, hanya rakyat sahaja yang boleh memilih kerajaan melalui saluran pilihan raya”, beliau menambah.

Sumber : The Star Online

Saturday, 15 August 2015

Siasat Dalang Gerakan Guling Kerajaan - Ismail Sabri


GEORGE TOWN, 15 Ogos  -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri menggesa pihak berkuasa menyiasat dengan teliti dan telus tentang gerakan yang didakwa cuba menggulingkan kerajaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata jika benar dakwaan itu, perbuatan mereka yang terlibat dengan gerakan itu bukan sahaja mengancam UMNO malah keselamatan negara.


"Kalau apa yang disebut (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) itu benar, saya kira orang yang terlibat ini (iaitu anggota) dalam parti yang bersekongkol dengan pembangkang, ia perkara yang tidak boleh dimaafkan oleh parti.


"Apa yang dilakukan itu akan mengorbankan parti yang telah pun dipilih secara demokratik oleh rakyat pada pilihan raya. Ini suatu pengkhianatan kepada parti," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jelutong di sini, Sabtu.Beliau mengulas pendedahan Ahmad Zahid mengenai gerakan menggulingkan kerajaan yang didalangi pembangkang serta pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO.


Semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ampang Sabtu, Ahmad Zahid berkata rancangan itu dijalankan dengan cara mendapatkan akuan bersumpah daripada Anggota Parlimen pembangkang serta cuba menarik Anggota Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui 'jalan belakang'.


Ismail Sabri berkata sebagai anggota UMNO yang berikrar mempertahankan parti, mereka tidak seharusnya bersekongkol dengan pembangkang untuk menumbangkan parti secara tidak demokratik.


Terdahulu, dalam ucapannya Ismail Sabri meminta semua anggota UMNO supaya bersatu menghadapi serangan media sosial dan mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan parti.


Di Pasir Salak, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman meminta pemimpin dan anggota UMNO supaya tidak terpengaruh atau dieksploitasi oleh pihak tertentu yang cuba menumbangkan parti dan kerajaan.


Beliau berkata cubaan itu akan gagal jika pemimpin dan anggota UMNO bersatu mengukuhkan kembali perpaduan dan kekuatan parti.


"Cubaan untuk menjatuhkan seseorang pemimpin adalah cara yang sangat tidak demokratik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pasir Salak di kediamannya di sini, Sabtu.


Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak berkata anggota UMNO perlu sentiasa mengutamakan kepentingan parti dan negara.


Sumber : BERNAMA

Usaha Gulingkan Kerajaan Di Kenal Pasti - Zahid Hamidi

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada persidangan Umno Bahagian Ampang di Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2015 lalu. Zahid berkata, ada pemimpin -pemimpin Umno yang sedang merancang untuk menggulingkan kerajaan dengan bantuan pemimpin -pemimpin dari parti pembangkang.

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pemimpin BN termasuk Umno dan turut didalangi oleh parti pembangkang.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau mendapat maklumat itu daripada sumber yang sangat boleh dipercayai.
  
Beliau berkata rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli Parlimen pembangkang, serta cuba menarik ahli Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui 'jalan belakang'.
  
"Saya dapat mencium bau ada usaha yang dilakukan oleh tokoh-tokoh tertentu yang didalangi tokoh-tokoh tertentu juga. Satu usaha untuk mendapatkan statutory declaration (akuan bersumpah) dalam kalangan anggota Parlimen parti pembangkang dan juga cuba menarik anggota Parlimen BN (menyokong mereka) untuk menumbangkan kerajaan sedia ada melalui 'pintu belakang'.
  
"Saya nyatakan perkara ini serius kerana saya mendapat maklumat daripada sumber-sumber yang sangat-sangat boleh dipercayai dan usaha ini sedang berjalan, kononnya seluruh 87 anggota Parlimen pembangkang berserta seorang ahli Parlimen Bebas sedang berusaha mendapat sokongan ahli Parlimen BN untuk menyokong mereka," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ampang di sini, hari ini.

Tanpa mendedahkan nama tokoh terlibat, Ahmad Zahid berkata peguam kumpulan terbabit dikatakan sedang menyediakan "memorandum tujuh muka surat kertas kuning berserta akuan bersumpah" untuk menyatakan kononnya mereka mendapat suara majoriti bagi mengulingkan kerajaan.
  
Beliau berkata rancangan mereka itu tidak akan dibenarkan berlaku.
  
"Perkara seserius ini adalah perkara yang akan membawa kepada gelojak politik nasional kerana mereka tidak sanggup mahu menunggu lama (sehingga diadakan) pilihan raya umum (PRU), mereka mahu masuk melalui pintu belakang," katanya.
  
Untuk itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno mahu semua ahli Umno dan BN termasuk di peringkat akar umbi memandang serius rancangan itu dan perlu kekal bersatu bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku.
  
"Kekuatan kita berdasarkan kepada ketaatsetiaan yang merupakan tonggak kepada kekuatan kepemimpinan.
  
"Bukan sahaja kita mendambakan kekuatan dan sokongan akar umbi dan bahagian (Umno) kepada presiden parti, tetapi ahli Parlimen BN, saya amat yakin, mereka tidak akan terjebak dan terperangkap dengan permainan pintu belakang yang akan dilakukan oleh tokoh-tokoh tertentu ini," katanya.

Sumber : BERNAMA

Friday, 14 August 2015

Usul Pemuda Semporna,Bukan Suara Sebenar Akar Umbi


Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda Umno Bahagian Semporna yang berjalan dalam keadaan tidak lancar. Bilangan Perwakilan yang hadir amat mengecewakan dan sebahagian besar ahli -ahli jawatankuasa pergerakan pemuda meninggalkan mesyuarat kerana membantah usul - usul yang dibentangkan.

Semporna, 14 Ogos 2015 : Tiga usul tergempar yang dikemukakan pada mesyuarat agung tahunan pemuda umno bahagian semporna hari ini, bukan suara dan kemahuan sebenar perwakilan dan sebilangan besar ahli - ahli jawatankuasa pergerakan pemuda bahagian tersebut.

Demikian yang dinyatakan oleh sebilangan besar perwakilan dan ahli -ahli jawatankuasa Pergerakan Pemuda Bahagian Semporna.Antara usul -usul yang dibentangkan ialah, Perdana Menteri diminta bercuti, Isu 1MDB disiasat dengan segera dan penangguhan pemilihan Umno sebelum ini, dibatalkan.

Usul -usul tersebut juga, dibentangkan tanpa diberi ruang untuk dibahaskan, dan tidak mendapat persetujuan atau keputusan sebulat suara pemuda bahagian tersebut, seperti mana yang digambarkan melalui media -media sosial sebelum ini.

Sebahagian besar ahli -ahli jawatankuasa pemuda yang diberi mandat pada pemilihan lepas, dilihat meninggalkan mesyuarat kelmarin sebagai tanda bantahan mereka kepada usul -usul yang mereka sifatkan, sebagai usul yang tidak masuk akal dan tidak mewakili kehendak sebenar pemuda bahagian tersebut.

Menurut mereka, usul -usul tersebut mempunyai niat serong untuk memperjuangkan kepentingan individu dan membelakangkan kepentingan ahli -ahli umno bahagian secara keseluruhan dan didalangi sendiri oleh Ketua Pergerakan Pemuda bahagian itu.

Jumlah kehadiran para perwakilan pemuda pada mesyuarat kali ini juga dilihat sebagai mengecewakan, apabila lebih daripada separuh bilangan perwakilan tidak hadir dalam mesyuarat kali ini.

Kewujudan sentimen awal, bahawa mesyuarat kali ini, hanya akan dijadikan sandiwara untuk menlegitimasi usul -usul yang akan dipanjangkan ke mesyuarat bahagian, adalah penyebab utama kurangnya kehadiran perwakilan - perwakilan pemuda.

Semua -usul -usul yang dikemukakan itu juga tidak pernah dibincangkan dalam mana -mana mesyuarat pemuda sebelum ini, dan tindakan menggambarkan usul - usul tersebut sebagai keputusan sebulat suara adalah tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.

Ketua bahagian, Dato Seri Shafie Apdal tidak memberi sebarang ulasan berkenaan perkara ini, dan beliau berpendapat ini adalah suara akar umbi sebenar yang perlu di ambil perhatian.

Sumber : Pemuda Umno Semporna

Pemuda Umno semporna Minta Perdana Menteri Bercuti


Pemuda Umno Semporna minta Perdana Menteri Bercuti, batalkan penangguhan pemilihan dan siasat 1MDB secara Telus.

SEMPORNA: Pemuda UMNO Bahagian Semporna membangkitkan beberapa isu yang perlu diberi perhatian serius oleh pucuk pimpinan parti khususnya Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam perbahasan, perwakilan membangkitkan isu supaya penangguhan Pemilihan UMNO dibatalkan dan diadakan mengikut jadual, meminta Najib mengambil cuti rehat sehingga siasatan selesai dan memastikan siasatan 1MDB dibuat secara telus.

Mengulas perkara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pucuk pimpinan parti perlu mendengar suara akar umbi supaya parti dapat diperkuatkan semula.

“Ini terpulang kepada ahli parti (isu yang dibahaskan) Kita perlu dengar suara akar umbi bagi menguatkan parti. Jangan belakangkan suara mereka.

“Ini amat penting kerana kita mahu parti kita menjadi pilihan generasi muda . Kita mahu dengar pandangan dan teguran mereka,” kata Shafie dalam sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Bugaya 2 pada Jumaat.

Shafie serta Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada Kabinet pada 28 Julai lalu selepas mengkritik 1MDB dan Najib.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, pergerakan itu akan memastikan suara akar umbi Pemuda sentiasa diberi perhatian.

“Tidak salah untuk kita raikan perbezaan pendapat. Mesyuarat begini adalah waktu terbaik untuk kita berhujah dan berbahas.

“Pemuda Umno akan sentiasa mendengar suara akar umbi dan kami percaya Presiden (Najib) juga akan mendengar pendapat-pendapat ini,” kata Khairul selepas merasmikan mesyuarat itu.

Sumber : Free Malaysia Today

Tuesday, 11 August 2015

Tun Mahathir Punca Utama Kejatuhan Ringgit - Ahmad Maslan

Serangan Tun Mahathir penyebab utama keadaan politik negara yang kurang stabil yang secara langsungnya menyebabkan kejatuhan nilai ringgit dipasaran dunia


Datuk Ahmad Maslan menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad menghentikan serangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi mengelak penyusutan nilai ringgit berterusan.

Timbalan menteri kewangan itu berkata, Dr Mahathir sewajarnya berhenti menyerang Najib kerana segala persoalan yang diajukan sudah dijawab presiden Umno itu.

“Seperti mana yang dinyatakan oleh Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Aziz, ekonomi negara masih berada pada asas-asas yang betul berdasarkan pada rizab yang kukuh, ekonomi berkembang dengan positif, inflasi terkawal dan kadar pengangguran yang rendah.

“Namun isu serangan yang dilakukan oleh Dr Mahatir ditambah dengan sokongan pihak tertentu turut dikatakan menjadi faktor kepada penyusutan ringgit ketika ini,” katanya seperti dilaporkan akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Ahmad berkata, Najib tidak akan tunduk kepada desakan bekas perdana menteri itu untuk meletak jawatan kerana desakan sedemikian tidak membawa keuntungan kepada negara.

“Rakyat akhirnya akan tahu apa yang dilakukan oleh bekas perdana menteri tidak membawa sebarang kebaikan sebaliknya menjatuhkan imej dan maruah negara di mata dunia,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Ketua penerangan Umno itu berkata jika berlaku penyusutan nilai ringgit, maka barangan import akan mengalami kenaikan harga disebabkan urus niaga menggunakan dolar Amerika.

“Jika keadaan itu berlaku, keadaan ekonomi negara bertambah sukar, biarpun pada dasarnya ia tidak akan berlaku dengan adanya asas ekonomi yang kukuh, namun dibimbangi perkara itu tidak dapat dielakkan,” katanya kepada akhbar itu.

Semalam, Bernama melaporkan ringgit dijangka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan pengukuhan mata wang asing itu serta ketidaktentuan dalam pasaran tempatan.

Bagi tempoh sepanjang minggu yang baru berakhir, ringgit mencecah paras terendahnya dalam tempoh 9 tahun pada Isnin lepas berbanding dolar AS berikutan pengukuhannya yang turut mengekang minat terhadap mata wang lain, termasuk ringgit.

Pengukuhan dolar itu turut disebabkan data pekerjaan yang lebih baik daripada jangkaan serta data jualan yang hanya mencetuskan lagi spekulasi mengenai kenaikan kadar faedah pada akhir tahun ini.

Bagi perbandingan mingguan, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS pada 3.7580/7610 daripada 3.7170/7200 pada Jumaat lepas.

Ringgit turut rendah berbanding mata wang utama lain.Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.7806/7843 daripada 2.7568/7601 Jumaat lepas dan lemah berbanding yen kepada 3.0368/0399 daripada 2.9793/9822, minggu lepas.

Unit tempatan itu turut merosot berbanding pound British kepada 5.8166/8235 daripada 5.6885/6946 dan susut berbanding euro kepada 4.1962/1007 daripada 4.1842/1887, pada Jumaat lepas. – 14 Jun, 2015.


Sumber : The Malaysian Insider


Sunday, 9 August 2015

Perdana Menteri Dedahkan Punca Sebenar Serangan Mahathir



1. Ramai yang bertanya - apa yang mendorong Tun Mahathir menyerang Perdana Menteri? Jawapannya adalah: beliau mahu saya meletakkan jawatan, sebagaimana beliau mahu Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan kerana saya menolak untuk melaksanakan tuntutan peribadinya.

2. Saya menolak kerana ia adalah tugas saya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang dipilih secara demokratik untuk memimpin negara ini dan melakukan apa yang saya percaya adalah baik untuk negara ini, bukan untuk seorang individu. Saya tidak percaya yang rakyat mahu seorang mantan Perdana Menteri memerintah melalui proksi.

3. Tun mencetuskan krisis apabila beliau secara melulu mendakwa RM42 bilion hilang daripada 1MDB dan aset kewangan syarikat, bernilai kira-kira RM16 bilion, adalah tidak bernilai. Kenyataan-kenyataan tersebut adalah palsu dan menyebabkan suasana panik yang tidak sepatutnya..

4. Sekiranya Tun berpegang pada fakta dan menjelaskan bahawa RM42 bilion sebenarnya hutang, maka itu lain kisahnya. Ini adalah kerana syarikat biasanya harus mempunyai aset yang bernilai lebih tinggi sebagai cagaran terhadap hutangnya.Dalam kes 1MDB, hutang RM42 bilion disokong oleh RM51 bilion aset seperti yang dilaporkan dalam Penyata Kedudukan Kewangan 1MDB bagi 2014. Tetapi beliau memilih untuk tidak mengendahkannya.

5. Adalah salah bagi Tun membuat dakwaan palsu bahawa RM42 bilion, atau RM27 bilion selepas beliau mengubah angka itu, adalah "hilang". Selepas 1MDB mendedahkan di mana beradanya RM42 bilion itu, Tun kemudiannya berkata beberapa bilion pula telah hilang. Perubahan angka dan hujah-hujah ini mencetuskan keraguan yang serius terhadap tuntutan beliau. Disebabkan beliau merupakan bekas ketua kerajaan, sentimen pasaran dan rakyat telah dipengaruhi secara negatif.

6. Sebagai Perdana Menteri, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan bahawa semua entiti di bawah bidang kuasa kerajaan, bukan sahaja 1MDB, ditadbir dengan baik. Atas sebab inilah saya mengarahkan Ketua Audit Negara untuk menjalankan siasatan ke atas 1MDB, dan laporan itu kemudiannya akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) yang dwipartisan untuk penelitian telus. Jika terdapat pihak yang terlibat dalam salah laku, saya akan memastikan undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian.

7. Jika Tun benar-benar mahukan jawapan kepada soalan-soalan yang telah dibangkitkan, beliau hanya perlu menunggu beberapa siasatan - oleh Ketua Audit Negara, Bank Negara dan PAC - untuk membuat kesimpulan. Bagaimanapun, beliau nampaknya tidak percaya kepada institusi-institusi dan pihak berkuasa yang sah, atau berminat dengan jawapan mereka.

8. Ini kerana serangan Tun ini pada hakikatnya tidak didorong oleh 1MDB - beliau hanya menggunakan syarikat itu sebagai alasan dan cuba menjatuhkan Perdana Menteri yang sedang berkhidmat. Jika 1MDB tidak pernah wujud, Tun akan mencari alasan lain.

9. Ia memalukan apabila Tun sekali lagi, telah berpaling menentang kepimpinan partinya sendiri. Serangan umum hanya akan merosakkan UMNO, kerajaan dan akhirnya Malaysia. Kelakuan tidak wajar ini akan menjadi catatan tambahan yang mencemarkan legasi beliau.

10. Tun mengatakan BN akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang, tetapi sejak bilakah seorang individu mempunyai hak untuk bercakap bagi pihak yang mengundi? Pembangkang berada dalam keadaan huru-hara, dan memandangkan perpecahan dalam ideologi asas gabungan mereka, akan berlaku kelumpuhan negara jika mereka memegang tampuk pemerintahan. 

Jika Barisan Nasional kekal bersatu dan membuktikan diri sebagai pemerintah terbaik bagi tahun-tahun akan datang, saya percaya rakyat akan membuktikan bahawa Tun salah pada pilihan raya akan datang - selepas didedahkan bahawa dakwaannya itu adalah palsu dan didorong oleh kepentingan diri sendiri, bukan demi kepentingan Malaysia. – Blog Najibrazak.com