Friday, 4 September 2015

UMNO SABAH TETAP UTUH JIKA SHAFIE DIPECAT DARI UMNO, 9 SEPTEMBER INI.

Selepas dipecat dari jawatan kabinetnya 28 Julai lalu, sehingga sekarang masih tiada kedengaran suara - suara pembelaan untuk Datuk Seri Shafie Apdal dari ahli -ahli Umno Sabah terutamanya dari pemimpin - pemimpin kanan umno negeri tersebut. Jika adapun suara -suara yang membela beliau, itu hanyalah daripada pemimpin dan penyokong bahagian yang diketuai olehnya sahaja.
Berbeza dengan Tan Sri Muhyiddin Yasin, Datuk Seri Shafie Apdal tidak mendapat sokongan kukuh dari UMNO sabah. Perbalahan dan percakaran Shafie dengan ketua menteri sabah (Musa Aman) adalah amat jelas dan diketahui umum, lebih - lebih lagi oleh  ahli -ahli umno  dan pemimpin -pemimpin negeri tersebut.
Kedudukan Musa Aman sebagai ketua Menteri Sabah adalah amat kukuh buat ketika ini. Hampir kesemua ahli -ahli dewan undangan negeri tersebut berada dibelakang menyokong kepimpinan beliau. Ahli - ahli parlimen negeri tersebut juga sebahagian besarnya adalah penyokong - penyokong Musa Aman.
Kali Pertama Shafie Apdal tiba di Sabah selepas dipecat dari jawatannya, tiada seorang pun pemimpin -pemimpin negeri itu, selain dua pemimpin dari bahagiannya, yang datang menyambut kedatangan beliau. Keadaan itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa Shafie sebenarnya tidak ada sokongan kukuh dikalangan pemimpin -pemimpin dan ahli -ahli Umno Sabah.
Sebab itulah pemecatan Shafie dari umno tidak akan memberi apa - apa impak kepada kesatuan dan perpaduan umno negeri sabah yang  sedang kukuh dibawah kepimpinan Musa Aman. Malah adalah bukan menjadi perkara rahsia dikalangan ahli -ahli Umno negeri tersebut, Jika Shafie tidak dipecat, Musa Aman dan sebahagian besar pemimpin - pemimpin negeri tersebut tidak akan berpuas hati.

Monday, 17 August 2015

Datuk Bung Mokhtar Radin Terlibat Komplot Gulingkan Kerajaan?



SANDAKAN: Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin kesal dengan tuduhan yang mengaitkan beliau antara pemimpin UMNO yang didakwa terbabit dalam gerakan untuk menggulingkan kerajaan.

Menurutnya beliau tidak tahu wujudnya gerakan itu sehinggalah didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Pada saya tuduhan sebegini kepada saya amat berat dan sungguh dikesali. Saya tidak pernah menjadi pengkhianat atau pembelot kepada parti yang saya perjuangkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata mungkin beliau selalu bersuara lantang tetapi tidak pernah menggadai maruah kerana tidak bersetuju dengan mana mana pemimpin.
Beliau berkata baginya perjuangan UMNO adalah perjuangan yang ikhlas dan bersih.

Menurutnya kalau ada usaha daripada mana-mana pihak mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat, beliau adalah orang pertama yang menentangnya.

"Kerana pada saya kerajaan ini dipilih oleh rakyat. Kalau mahu dijatuhkan pun biarlah melalui pilihan raya umum dan bukan di jalan raya atau mana-mana cara yang tidak bermaruah," katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar mahu pihak tidak bertanggungjawab menghentikan penggunaan namanya dalam perkara yang beliau sendiri tidak tahu.

Sumber : Astro Awani

Khairy : Dedah identiti dalang tindakan guling Kerajaan





BUKIT KATIL: Identiti pemimpin UMNO yang berhasrat bergabung dengan anggota Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan wajar didedahkan, kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Katanya, setiap pemimpin dan ahli parti perlu tahu pergerakan individu terbabit serta langkah yang mahu diambilnya untuk menggulingkan kerajaan.

"Kalau ada satu usaha guling kerajaan, saya rasa elok jika kita diberitahu siapakah individu terlibat dan apakah cara dimaksudkan untuk guling kerajaan," katanya ketika ditemui selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Tahunan UMNO Bahagian Bukit Katil pada Ahad.

Beliau juga bertegas tidak kenal identiti individu yang dimaksudkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.

Sementara itu, Menteri Belia Dan Sukan itu akan mendapatkan maklum balas terhadap usul tergempar Pemuda UMNO Bahagian Tampin yang sebulat suara meminta Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Sumber : Astro Awani

Arul Kanda Menempelak Tony Pua

Arul Kanda dan Tony Pua

KUALA LUMPUR: Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda menempelak Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berikutan masih terus membuat tuduhan kitar semula berhubung isu syarikat itu. 

Sambil merujuk kepada kenyataan dikeluarkan Pua semalam berhubung , Arul berkata 1MDB berbesar hati dengan kenyataan Pua yang kelihatan tidak serius dengan kenyataannya. 

"Dia (Pua) terus menerus memperlekeh kenyataan kami. Bagaimanapun kami tetap akan mengulangi kenyataan dan jawapan yang pernah kami keluarkan sebelum ini. 

"Setiap penelitian dan persoalan dikemukakan Pua, bagaimanapun sangat penting untuk kita mencari kebenaran," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini. 

Dalam kenyataan sama, Arul turut menyertakan tiga kenyataan akhbar Pua yang dikeluarkan sejak seminggu lalu. 

Terbaru, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu mendakwa Arul 'berbohong' ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah memberitahu sidang Parlimen, bahawa baki pelaburan 1MDB yang diuruskan Cayman Monetary Authority sebanyak RM3.96 bilion (USD1.1 bilion) ditebus dengan aset dan diletakkan dalam bank di Singapura. 

Arul berkata, dalam keghairahan Pua membangkitkan semula, mengitar semula dan menggunakan kembali tuduhan lama, Ahli Parlimen itu nampaknya sudah lupa dengan penjelasan lalu mengenai isu penebusan unit dana oleh Kementerian Kewangan kepada Parlimen. 

Katanya, kenyataan dan persoalan kitar semula Pua itu tidak menguntungkan mana-mana pihak dan menyatakan Malaysia bukanlah mengamalkan cara hidup di dalam hutan. 

"Kita mempunyai proses, prosedur dan undang-undang yang akan digunakan. Oleh itu, pihak berkuasa yang sah mesti dibenarkan untuk meneruskan siasatan mereka.

 "1MDB memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelan rasionalisasi kami untuk menstabilkan syarikat dan mengurangkan hutang syarikat ke tahap yang mampan. Biarkan kami meneruskan tugas ini," katanya.

Sumber : BH Online


Lee Chong Wei Tetap Jadi Harapan Negara Untuk Rangkul Emas Di Temasya Sukan Olimpik 2017

Datuk Lee Chong Wei
PUTRAJAYA: Acara badminton tetap menjadi sasaran pingat dengan sandaran utama emas negara pada temasya Sukan Olimpik 2017 di Rio de Janeiro, Brazil diletakkan pada jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei. 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, persediaan awal dan rapi perlu dijalankan segera bagi memastikan Chong Wei berada pada tahap terbaik untuk menghadapi saingan terutama daripada Chen Long dan Lin Dan. 

Pada masa yang sama, beliau berkata, acara lain seperti beregu lelaki, beregu wanita dan juga beregu campuran yang telah menunjukkan peningkatan pada kejohanan itu turut diberi perhatian kerana dilihat sebagai prospek untuk menyumbang pingat pada temasya berprestij itu. 

"Kita tidak mahu letakkan harapan Olimpik pada Chong Wei sahaja, kita harap pingat juga boleh disumbangkan oleh beregu, dengan itu kita tidak hanya bergantung pada Chong Wei. 

"Saya tidak hilang harapan terhadap Chong Wei. Beliau masih yang terbaik bagi meraih pingat emas perseorangan. "Tapi kita kena bagi dia persediaan secukupnya bagi Olimpik. 

Sekurang-kurangnya dia berada pada prestasi terbaik semasa Sukan Olimpik," katanya kepada pemberita selepas sidang media bersama rakan korporat Hari Sukan Negara (HSN) di sini hari ini. 

Pencapaian terbaik pasukan badminton Malaysia di Sukan Olimpik adalah meraih dua pingat perak dan dua gangsa sejak ia mula dipertandingkan secara rasmi pada temasya 1992 di Barcelona. 

Chong Wei menyumbang pingat perak acara perseorangan lelaki pada temasya Olimpik 2008 di Beijing manakala Rashid Sidek pula meraih gangsa pada temasya 1996 di Atlanta. 

Beregu lelaki Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock turut menyumbang pingat perak pada temasya di Atlanta selepas pasangan Razif/Jalani Sidek menyumbang pingat gangsa yang juga pingat Sukan Olimpik pertama negara di Barcelona (1992). 

Sementara itu, Khairy berkata, satu rundingan sedang dijalankan dengan bapa Zulfadli Zulkiffli yang juga jurulatih kepada pemain profesional itu untuk membolehkan beliau menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM). 

Katanya, Zulfadli, 22, bekas juara remaja dunia, dilihat berpotensi menggantikan tempat Chong Wei berikutan kejutan yang dibuat pada Kejohanan Dunia apabila layak ke pusingan ketiga. 

"Saya melihat Zulfadli ada potensi untuk ganti Chong Wei sebab itu kita cuba berbincang supaya beliau masuk dalam sistem BAM. Kami sedang cuba untuk berbincang dengan bapanya dan juga pemain itu untuk melihat jika beliau mahu masuk BAM," katanya.

Pada aksi final Kejohanan Dunia di Jakarta semalam, Chong Wei sekali lagi gagal meraih gelaran juara dunia, satu-satunya kejohanan yang belum berjaya dimenangi sepanjang penyertaan di kejohanan itu. 

Chong Wei tewas kepada jaguh dari China, Chen Long 14-21 dan 17-21 dalam perlawanan yang berlangsung di Istora Senayan.

Sumber : BERNAMA


Mekanik Mengaku Bersalah Sebabkan Kematian Nenek

KOTA KINABALU: Seorang mekanik menukar pengakuannya kepada bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin, kerana menyebabkan kematian neneknya.

Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menetapkan pada 24 Ogos depan, sebagai jatuh hukum terhadap Jackley Jamil, 22, yang mana kelmarin adalah sepatutnya untuk perbicaraan.

Penangguhan itu dilakukan sementara menunggu laporan sosial disediakan, memandangkan ketika kejadian tertuduh merupakan pesalah muda.

Tertuduh menyebabkan kematian Lotia Moginas, 69, pada 31 Januari tahun lalu jam 2.30 pagi, di tepi jalan jambatan gantung, Kampung Bundu Gulu Rungus, Tamparuli.

Atas pertuduhan itu, Jackley didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun atau dengan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan itu dikendalikan oleh Timbalan PendakwaRaya Ahmad Nazneen Zulkifli, manakala peguam Hendry Gudid mewakili tertuduh.

Kini tertuduh direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah, sehingga kes berkenaan selesai.

Dalam kes berasingan, seramai 15 lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara antara empat hingga lima bulan serta satu sebatan, selepas mengaku bersalah memasuki negeri ini secara haram.

Mereka yang berusia antara 18 tahun hingga 53 tahun terdiri daripada mekanik, buruh, nelayan dan penganggur didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 18 tahun dan melebihi 50 tahun tidak dikenakan sebatan.

Sementara itu, seorang lelaki warga asing berusia 40 tahun, dijatuhkan hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah tinggal di negeri ini melebihi tempoh masa yang dibenarkan.

Tertuduh yang merupakan pekerja ladang kelapa sawit, didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tempoh lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah memerintahkan semua tertuduh yang tidak diwakili peguam dirujuk ke Jabatan Imigresen, bagi tindakan selanjutnya, selepas menjalani hukuman.



Sunday, 16 August 2015

Tindakan Tegas Akan Diambil Jika Guling Kerajaan Dengan Cara Yang Salah - IGP

Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara

BATU PAHAT  - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk pemimpin parti politik yang cuba menggulingkan kerajaan dengan cara yang bertentangan dan menyalahi perlembagaan serta undang-undang negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan, pihaknya sedang memantau perkembangan berkaitan termasuk penganjuran Bersih 4.0 yang dilihat semakin tersasar daripada tujuan asal.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa PDRM tidak akan mencampuri urusan politik dalaman parti.

“Jika ada usaha untuk menurunkan mana-mana pemimpin parti, polis tak ingin mencampuri urusan dalaman mereka, tetapi jika ada mana-mana orang atau parti politik yang cuba menggulingkan kerajaan sedia ada dengan cara tidak demokratik, itu kita akan masuk campur.

“Terdapat dua cara untuk menukar kerajaan. Pertama menerusi undi tidak percaya di Parlimen dan kedua, menerusi pilihan raya umum. Jika selain daripada dua cara ini, kita akan menghalangnya,” tegasnya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Pentauliahan Kor Suksis IPTA SeMalaysia Ke-11 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Polis negeri, Datuk Rusli Ahmad dan Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.

Mengulas tentang Bersih 4.0 yang dijadualkan pada akhir bulan ini, Khalid berkata, kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Bersih sejak kebelakangan ini bukan lagi memperjuangkan pilihan raya yang bersih, tetapi menjurus terhadap usaha menukar kerajaan.

Justeru, beliau memberi amaran akan mengambil tindakan pencegahan sekiranya terdapat usaha dan aktiviti ke arah menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan.

“Jangan minta clean (bersih) itu clean (bersih) ini tetapi mereka sendiri kotor (kerana) tidak mahu mematuhi undang-undang.

“Bersih ini juga pentingkan diri, tak mahu jaga kepentingan orang lain, dia nak jaga hak dia ikut suka hati nak berhimpun di (Kompleks) Sogo dan lain-lain. Tetapi tak ambil kira hak pemandu teksi dan peniaga, fikirkanlah juga hak orang lain,” tegasnya.

Tambah Khalid, pihaknya tidak menghalang mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan aman, malah akan membantu kelancaran program itu tetapi mengesyorkan supaya mereka berhimpun di lokasi yang sesuai.

Sumber : Utusan Online